Wednesday, January 21, 2009

Kelebihan Mas Kargo

MALAYSIA Airlines (MAS) sememangnya syarikat penerbangan yang telah lama menempah nama di persada industri aviasi antarabangsa yang sering menggondol anugerah dari segi layanan perkhidmatan pelanggan dalam penerbangan.Bagaimanapun, pencapaian syarikat itu bukan sahaja dari segi kualiti perkhidmatan pelanggan dalam penerbangan tetapi juga pencapaian oleh anak syarikatnya seperti Malaysia Airlines Cargo Sdn. Bhd. (MASkargo).

MASkargo yang memulakan operasinya sejak 1972 dan telah mengendalikan lebih 30,000 tan kargo itu juga telah menerima pelbagai anugerah berkaitan industrinya seperti diiktiraf sebagai antara 10 Syarikat Pembawa Kargo Udara terkenal di Asia."Apa yang membanggakan ialah kepercayaan syarikat terkemuka seperti pengeluar kereta Formula 1 untuk memberi kontrak kepada MASkargo mengendali perpindahan kereta-kereta mereka," kata jurucakap MASkargo.

Bagaimanapun, semua kejayaan itu bukan dicapai dengan mudah kerana MASkargo sentiasa berusaha meningkatkan keyakinan pelanggan dengan menawarkan perkhidmatan terbaik dengan kemudahan dan prasarana terbaik."Teknologi merupakan bidang yang diberi perhatian besar dalam memastikan kelancaran operasi kami," kata Pengurus IT Kargo, MASkargo, David Chan.Sejak 1986, MASkargo telah menjalankan operasi perniagaannya menggunakan sistem tempahan berkomputer dan pengendalian dokumen canggih dikenali sebagai MASGO yang dihubungkan ke semua pejabat dan stesen kargo di dalam dan luar negara.

Di Pusat Kargo Canggih MASkargo, operasinya dijalankan secara automasi menggunakan Sistem Pengendalian Material (MHS) yang membolehkan barangan diterima, disimpan, dihantar dan dikesan dengan pembabitan manusia yang minimum.Bagi MASkargo, saingan yang semakin hebat dalam dunia pengendalian logistik atau penghantaran udara telah mendorong syarikat itu untuk berusaha mempertingkatkan kedudukan dan operasi syarikat agar sesuai dengan perkembangan semasa."IT dan penyertaan dalam e-dagang merupakan elemen penting bagi sesebuah syarikat untuk berdaya saing masa kini," kata Chan.

Beliau berkata, e-dagang bukan satu konsep atau rancangan masa depan tetapi merupakan aplikasi yang telah sedia ada dan peserta industri logistik memerlukannya bagi meningkatkan kecekapan dalam persaingan.Sehubungan itu, MASkargo tiada pilihan selain daripada turut melabur dalam bidang IT secara komprehensif dan merangka strategi berkesan dalam e-dagang bagi mempromosikan penggunaan transaksi elektronik dalam perniagaan."MASkargo melabur kira-kira RM5 juta setiap tahun dalam pembangunan kemudahan prasarana ICT dan juga e-dagang setiap tahun," katanya kepada taklimat media di Kelana Jaya, baru-baru ini.Beliau berkata, MASkargo perlu sekurang-kurangnya berada di lima syarikat teratas dari segi perlaksanaan teknologi dalam industri pengendalian kargo udara.

Objektif model perniagaan e-dagang MASkargo memberi fokus kepada memberi kelebihan dengan meningkatkan kepuasan pelanggan, menjarakkan diri ke hadapan, mengekalkan kelebihan dan menonjolkan kelebihan dari pesaing.Chan berkata, pelaksanaan strategi e-dagang juga memberi kelebihan kepada MASkargo dalam meningkatkan kecekapan seperti peningkatan keada sehingga 90 peratus bagi urusan penempahan secara elektronik.

Strategi e-dagang MASkargo tertumpu kepada melaksanakan transaksi elektronik untuk semua urusan, menggunakan teknologi Internet, menentukan standard industri, menyeragamkan transaksi logistik dan mendapatkan pengiktirafan kerajaan dalam melaksanakan Montreal Protocol 4 (MP4).E-tempahan dan pengesahan, e-Air Waybills, e-penjejakan, e-maklumat (penerbangan dan pertukaran kargo), e-pengesahan (kastam, zon bebas, dan lain-lain), e-pembayaran dan invois serta e-komunikasi merupakan aplikasi yang telah dilaksanakan MASkargo."Pelanggan kini boleh menjejak di mana kedudukan barangan mereka melalui laman web kami melalui aplikasi e-penjejakan," kata Chan.

Laman web MASkargo di alamat www.maskargo.com juga dibangunkan dengan ciri-ciri mesra pengguna dan kelihatan seperti sebuah portal.Selain itu, 'Air Waybills' iaitu bil pengesahan bagi penghantaran sesuatu barangan yang sebelum ini dilakukan secara manual kini boleh dilakukan secara transaksi elektronik dan MASkargo kini memproses kira-kira 60,000 bil tersebut setiap bulan.

Chan berkata, MASkargo kini mempunyai 180 agen yang telah menjalankan urusan secara elektronik dan pengendalian 'Air Waybills' telah banyak menjimatkan masa dalam menguruskan sesuatu penghantaran barangan.Ditanya mengenai cabaran dihadapai MASkargo, Chan berkata, MASkargo kini sedang berusaha agar negara ini dapat menerima format MP4 bagi membolehkan ia melaksanakan transaksi elektronik sepenuhnya.MP4 merupakan persetujuan antara pembawa barangan dan syarikat penerbangan untuk berurusan secara elektronik tanpa perlu pengeluaran kertas 'Air Waybills' sebagai simpanan rekod pembawa."Kami telah mengemukakan kepada Kementerian Pengangkutan agar negara ini juga menerima MP4 bagi membolehkan kami beroperasi dalam persekitaran elektronik sepenuhnya," kata Chan.

Setakat April lepas, 51 negara di seluruh dunia telah melaksanakan protokol MP4 tersebut yang memudahkan negara jika turut menyertai pakatan tersebut."Bagaimanapun, kita memerlukan sedikit masa memandangkan kerajaan perlu membentangkan perkara tersebut dan mendapat kelulusan Parlimen sebelum boleh dilaksanakan," tambah Chan.Katanya, jika sesebuah negara melaksanakan MP4, syarikat penghantar barangan juga boleh mengurangkan kos antara RM19 hingga RM38 bagi setiap transaksi 'Air Waybills.'

Kesimpulannya, pembabitan MASkargo dalam dunia teknologi maklumat sememangnya suatu usaha yang membanggakan negara kerana syarikat tempatan kini mampu membuktikan kebolehan mereka bagi bersaing dengan syarikat-syarikat terkenal dunia yang lain.

***diambil dari laman web :
http://www.maskargo.com/module.php?folder=press&filename=mcoverage-dt&mcid=64

2 comments:

  1. antara teknologi2 yg digunakan leh MAS kargo:
    1)Sistem Pengendalian Material (MHS)- operasi mesin yg dijalankan secara automasi membolehkan brngan diterima,disimpan, dihantar dan dikesan dengan pembabitan manusia yang minimum
    2)e-dagang
    - menggunakan transaksi elektronik dlm semua urusan
    - menentukan standard industri
    - menyeragamkan transaksi logistik
    - mendapatkan pengiktirafan kerajaan dalam melaksanakan Montreal Protocol 4 (MP4).
    3)laman web maskargo dibangunkan dgn ciri2 mesra pengguna/portal
    4)memperkenalkan 'Air Waybills' - bil pengesahan sesuatu barangan yang sebelum ini dilakukan secara manual kini boleh dilakukan secara transaksi elektronik


    3)

    ReplyDelete
  2. objektif:
    memberi fokus kepada memberi kelebihan dengan meningkatkan kepuasan pelanggan, menjarakkan diri ke hadapan, mengekalkan kelebihan dan menonjolkan kelebihan dari pesaing

    ReplyDelete